Sunday, February 22, 2026

An’am Ayat 44 ISTIDRAJ

An’am Ayat 44: Apa Allah ‎ﷻ buat selepas itu?

فَلَمّا نَسوا ما ذُكِّروا بِهِ فَتَحنا عَلَيهِم أَبوٰبَ كُلِّ شَيءٍ حَتّىٰ إِذا فَرِحوا بِما أوتوا أَخَذنٰهُم بَغتَةً فَإِذا هُم مُّبلِسونَ

Sahih International

So when they forgot that by which they had been reminded, We opened to them the doors of every [good] thing until, when they rejoiced in that which they were given, We seized them suddenly, and they were [then] in despair.
Malay

Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).


فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ

Kemudian apabila mereka berterusan melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya,

Iaitu walaupun ancaman yang diberikan kepada manusia, namun mereka masih buat tidak tahu sahaja. Antara peringatan itu adalah dengan diberikan bala dan musibah. Sepatutnya musibah itu mengingatkan manusia kepada Allah ‎ﷻ dan merendahkan ego mereka, tetapi mereka tidak mahu berubah seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini.

Begitulah yang terjadi kepada kebanyakan manusia. Mereka tidak sedar yang Allah ‎ﷻ telah beri amaran kepada mereka. Mereka anggap ia tidak penting. Mereka tidak memikirkan langsung tentang apa yang telah diperingatkan itu.


فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوٰبَ كُلِّ شَيْءٍ

Maka Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan,

Apabila diberikan bala, dan manusia buat tidak tahu sahaja, maka Allah ‎ﷻ berikan langkah seterusnya – Allah ‎ﷻ berikan kemewahan demi kemewahan. Allah ‎ﷻ bukakan pula kesenangan dunia untuk mereka. Ini mungkin agak menghairankan, bukan? Nanti kita jelaskan sebentar lagi.

Berterusan mereka diberikan kebaikan di dunia. Lihatlah negara kita sekarang, senang sahaja negara kita. Ekonomi tengah bagus. Tiada peperangan atau kesusahan seperti negara lain. Allah‎ ﷻ berikan banyak peluang untuk kehidupan yang baik.

Tujuannya adalah untuk melalaikan mereka. Allah ‎ﷻ membuka pintu dunia dan menutup pintu akhirat sebagai perangkap untuk mereka.

Atau, ia bertujuan untuk memberi mereka peluang untuk bersyukur dengan nikmat yang Allah‎ ﷻ telah berikan. Jika dengan bala mereka tidak beringat, mungkin mereka beringat dengan nikmat pula.


حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا

sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka,

Iaitu hidup dalam kegembiraan sambil menikmati kemewahan hidup. Perkataan فَرِحُوا bermaksud mereka gembira, juga bermakna mereka berlagak dengan kebaikan dan kemewahan yang mereka dapat itu kerana senang dan mudah sahaja kehidupan mereka.

Tidaklah salah untuk menggunakan kenikmatan di atas dunia ini. Tidak salah, apatah lagi ia adalah pemberian daripada Allah ‎ﷻ. Memang Allah ‎ﷻ ada berikan kesenangan kepada manusia di dunia ini sebagai contoh kesenangan yang lebih hebat di akhirat kelak. Kita kena lihat yang ia adalah sesuatu yang baik. Kita gunakan nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan di dunia, sambil kita mengingati yang kalau kita taat kepada-Nya, maka kita akan mendapat nikmat yang lebih hebat dan berpanjangan di akhirat kelak. Jika tidak ada langsung kesenangan di dunia, bagaimana kita hendak bayangkan kesenangan di akhirat, bukan?

Namun begitu, jika manusia lalai leka dengan kesenangan itu, maka mereka telah tertipu. Mereka telah terkena ‘istidraj’. Istidraj adalah kesenangan yang melalaikan manusia sampai mereka lupa hendak ingat kepada Allah ‎ﷻ. Mereka sangka kesenangan itu baik bagi mereka, tetapi sebenarnya ia adalah buruk bagi mereka. Mereka sahaja tidak sedar yang mereka telah diperangkap.

Jadi jangan kita terpesona dan memandang tinggi orang hidup dengan senang lenang di dunia ini. Jangan kita anggap semua mereka itu sedang mendapat nikmat. Entah mereka sekarang sedang dibuai dengan istidraj Allah ‎ﷻ. Mereka sedang menuju ke neraka sebenarnya.


أَخَذْنٰهُم بَغْتَةً

Kami timpakan mereka secara mengejut

Mereka akan ditimpakan dengan bala bencana yang membinasakan, secara tiba-tiba. Tiba-tiba Allah‎ ﷻ berikan azab yang mengejutkan kerana waktu itu memang tengah bersenang lenang. Kejadian itu tiba-tiba sangat sampai tidak sempat untuk mengucap pun.

Bayangkan, waktu itu manusia itu tengah bersuka-ria, tengah bergembira dan tiba-tiba mereka diberikan bala yang besar. Kalau mari bala yang besar ini, maka akan rosak hancurlah mereka itu.

Sudah banyak dalam sejarah dunia kejadian begini berlaku dan ada yang disebut dalam Al-Qur’an seperti yang berlaku terhadap kaum Nabi Nuh, Aad dan Tsamud.


فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ

maka mereka pun berputus asa.

Terus hancur berkecai negara jika Allah‎ ﷻ turunkan bala sebegini. Pada waktu itu, sudah tidak nampak harapan untuk keluar daripada bala itu lagi. Mereka berputus asa kerana mereka tidak sangka langsung yang mereka akan dikenakan bala seteruk itu.

Sebagai contoh, ada orang yang sihat wal afiat, aktif bersukan dan bersenam, namun secara tiba-tiba sahaja dia telah diserang penyakit angin ahmar lalu hilang segala keupayaannya untuk bergerak. Tentu dia akan berputus asa dan terus dilanda kemurungan. Ini kerana dia tidak menyangka dia akan dikenakan dengan musibah itu. Selama ini dia sihat-sihat sahaja, tidak nampak akan terkena penyakit apa-apa.

Sepatutnya apabila ditimpa musibah sebegitu dia hendaklah kembali kepada Allah ‎ﷻ, bukanlah terus berputus asa. Ini kerana sifat putus asa adalah sifat yang tidak baik. Ia merupakan sifat yang sudah hilang pengharapan kepada Allah ‎ﷻ. Putus asa adalah sifat orang kafir. Jangan sesekali putus pengharapan kepada Allah ‎ﷻ. Kena ingat Allah‎ ﷻ sentiasa bersama (dalam senang dan dalam susah).

Allah ‎ﷻ kenakan azab itu kerana manusia ingkar kepada-Nya. Kerana itulah kita amat menitikberatkan supaya ajaran tauhid ini disampaikan kepada semua orang. Tauhid amat penting sekali untuk keselamatan kita dunia dan akhirat. Takut-takut kalau azab Allah‎ ﷻ ini turun ketika zaman kita.

Daripada ayat ini, kita dapat tahu bahawa Allah ‎ﷻ memberikan bala secara berperingkat. Allah ‎ﷻ tidak terus memberikan bala yang besar. Allah ‎ﷻ akan berikan bala yang kecil terlebih dahulu supaya kita ada peluang untuk bertaubat dan membetulkan perbuatan kita. Secara permulaan, Allah ‎ﷻ berikan bala kecil, kemudian kalau buat tidak endah, Allah ‎ﷻ akan beri kesenangan pula. Kalau tidak endah juga, maka barulah Allah ‎ﷻ beri bala besar sampai terduduk. Ini juga disebut dalam Sajdah:21.

وَلَنُذيقَنَّهُم مِّنَ العَذابِ الأَدنىٰ دونَ العَذابِ الأَكبَرِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit daripada azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa kemewahan dan nikmat adalah satu ujian juga. Kalau kita dalam keadaan senang lenang, ingatlah bahawa itu adalah satu ujian juga kepada kita. Susah itu ujian, senang itu juga adalah ujian. Jangan kita suka sangat sampai kita lupakan Allah ‎ﷻ.

Ingatlah bahawa ujian Allah ‎ﷻ itu dalam bentuk kesusahan dan juga dalam bentuk kesenangan. Bagi orang yang beriman, dia akan ingat Allah ‎ﷻ dalam susah dan senang. Jika ditimpa kesusahan, orang beriman tidak putus harap dengan Allah ‎ﷻ. Selalunya orang mudah ingat kepada Allah‎ ﷻ ketika berada dalam keadaan susah. Namun apabila dalam kesenangan agak susah untuk ingat kepada Allah ‎ﷻ, bukan?

Ayat ini mengingatkan kita, kalau kita dalam keadaan senang lenang, ingatlah ada kemungkinan itu adalah dugaan sebelum Allah ‎ﷻ menarik kesenangan itu dan mengenakan bala yang besar. Ingatlah dua sifat yang orang mukmin kena ada: takut dan harap. Inilah dua sifat yang kena ada sentiasa.

Namun begitu, janganlah kita sangka semua orang yang sedang dapat kebaikan bermaksud mereka telah melakukan kesalahan. Tidak semua orang begitu. Cuma, kita kena berhati-hati. Kita tidak tahu kita dalam keadaan yang mana.

Ayat ini juga mengingatkan kita jangan suka sangat dan berlagak apabila kita mendapat nikmat dan kemewahan. Sepatutnya, kita gunakan peluang itu untuk bersyukur kepada Allah ‎ﷻ dan membantu orang lain sebanyak mungkin. Gunakan kelebihan dan nikmat yang diberikan untuk membuat lebih banyak kebaikan dan mengumpul pahala.

Selain itu juga, ayat ini mengingatkan kita bahawa bala Allah ‎ﷻ boleh datang secara tiba-tiba. Entah-entah keluar sahaja dari rumah sekejap lagi boleh mati. Maka, hendaklah kita sentiasa bersedia bila-bila masa sahaja.


https://celiktafsir.net/2014/09/28/anam-ayat-43-46/

An’am Ayat 44 ISTIDRAJ

An’am Ayat 44: Apa Allah ‎ﷻ buat selepas itu? فَلَمّا نَسوا ما ذُكِّروا بِهِ فَتَحنا عَلَيهِم أَبوٰبَ كُلِّ شَيءٍ حَتّىٰ إِذا فَرِحوا بِما أ...